AKTIVITI BULAN INI

AKTIVITI BULAN INI ##9/3/2013 MOTIVASI KEIBUBAPAAN MURID SKK ##!

Tuesday, August 31, 2010



Majlis Berbuka Puasa & Penyampaian Zakat
Bagi Tahun 2010

Tarikh : 02/09/2010
Hari Khamis
Di Sempurnakan oleh :
Tn Hj Mohd Rosdi b Ab Aziz

Friday, August 13, 2010

ZAKAT FITRAH BAGI NEGERI KELANTAN 2010

KADAR ZAKAT FITRAH DI KELANTAN TAHUN INI RM7 PDF Cetak
Rabu, 04 Ogos 2010 15:45

KOTA BHARU 3 Ogos - Kadar zakat fitrah di negeri ini pada tahun ini ditetapkan RM7, meningkat 10 sen berbanding RM6.90 tahun lalu.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Datuk Kamaruddin Mohd. Zin berkata, penetapan kadar zakat fitrah itu mengambil kira harga semasa beras.

Beliau berkata, bagi tujuan itu Maik telah melantik seramai 571 amil terdiri daripada para imam, bilal dan pegawai agama di kem-kem tentera, polis serta pusat tahanan.

"Kita menjangkakan kutipan zakat fitrah pada tahun ini sebanyak RM7.5 juta berbanding RM7.3 juta pada tahun lalu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kamaruddin turut mengumumkan kadar nisab zakat wang simpanan iaitu sebanyak RM10,200.

Mengenai zakat harta pula, katanya, umat Islam boleh menunaikan kewajipan mereka dengan membayar zakat harta di kaunter Maik, Balai Islam Lundang di sini yang beroperasi tujuh hari seminggu sepanjang Ramadan ini bermula pukul 8 pagi hingga 4.45 petang.

Selain itu katanya, pembayaran zakat harta juga boleh dibuat melalui ejen-ejen Maik yang dilantik seperti Bank Islam, CIMB, RHB, Ambank, Maybank dan pejabat pos.

"Pada tahun ini, pembayaran zakat harta juga boleh dibuat di tiga buah masjid iaitu di Masjid Bandar Pasir Puteh, Machang dan Pasir Mas," katanya.

Kamaruddin berkata, secara keseluruhannya, Maik menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM70 juta tahun ini berbanding RM66.5 juta tahun lalu.

Beliau berkata, pembayaran zakat oleh umat Islam terus meningkat setiap tahun dan perkembangan tersebut menunjukkan kegawatan ekonomi sebenarnya tidak menjejaskan pendapatan mereka dalam menunaikan ibadat tersebut, malah semakin mendapat keberkatan.

Tambahnya, bagi menggalakkan umat Islam menunaikan kewajipan tersebut, Maik turut memperkenalkan sistem waad iaitu mengembalikan sebanyak 25 peratus wang zakat yang dibayar untuk diagih-agihkan sendiri oleh pembayar zakat kepada golongan asnaf di kawasan mereka.

Katanya, pelaksanaan sistem tersebut dibuat berikutan terdapat pandangan daripada pembayar zakat mengenai ada golongan fakir dan miskin di kawasan mereka yang perlu dibantu.

Jelasnya, Maik telah memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta setahun bagi tujuan pembayaran balik wang zakat di bawah sistem waad yang mula diperkenalkan sejak 2006.

"Program ini bertujuan menggalak dan menarik umat Islam supaya membayar zakat," katanya.

Mengenai program Maik, Kamaruddin berkata, antara tumpuan pihak majlis ialah menyediakan rumah bagi golongan fakir dan miskin berharga kira-kira RM30,000 sebuah.

Beliau memberitahu, Maik sejak 2004 telah pun membina 501 buah rumah untuk golongan asnaf di seluruh negeri yang melibatkan peruntukan lebih RM15 juta.

(Petikan dari Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 3 Ogos 2010)